SUAD bersama bayinya, Arafah. FOTO SPA
Agensi

LAPAN kelahiran bayi direkodkan di beberapa hospital di Makkah, Mina dan Arafah ketika ibadah haji sedang berlangsung, lapor Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semalam.

Laporan kementerian yang disiarkan di Saudi Press Agency (SPA) berkata, Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Makkah merekodkan lima kelahiran iaitu dua di Arafah dan seorang di Mina.

Arab News melaporkan bayi di Arafah dilahirkan jemaah ketika melaksanakan ibadah haji pada 10 Ogos lalu.

Jemaah haji dari Libya, Suad Mohammed Barbush, 40, selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Jabal al-Rahma dan menamakannya Arafah sempena tempat kelahiran.

Seorang lagi ibu, Maimunah Ali, 23, dari Guinea selamat melahirkan bayinya di Hospital East Arafat pada petang 10 Ogos lalu, beberapa jam selepas dia dan suami berada di Arafah.

Maimunah dan suami, Abu Bakr mahu menamakan anak mereka sebagai Mohammed Salman, sempena Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 2:22 PM