IRGC rampas sebuah lagi kapal tangki asing. -Foto AFP
AFP

TEHRAN: Iran menahan sebuah kapal tangki asing di Teluk menjadikannya rampasan ketiga dalam tempoh sebulan, lapor media tempatan semalam. 

Agensi berita IRNA memetik kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang berkata, kapal tangki membawa 700,000 liter minyak  seludup ditahan di Pulau Farsi. 

Tujuh anak kapal asing diberkas dalam operasi pada malam Rabu lalu, lapor agensi berita Fars. 

Rampasan kapal tangki itu adalah yang ketiga dilakukan Iran dalam tempoh kurang dari sebulan di perairan Teluk yang menjadi laluan utama bekalan minyak di dunia. 

Ketegangan hubungan antara Iran dan Amerika Syarikat bermula awal tahun ini selepas Washington mempertingkatkan kempen bagi memberi ‘tekanan maksimum’ terhadap Tehran.

Pada 18 Julai lalu, IRGC berkata pihaknya menahan kapal tangki Panama yang menuju ke MT Riah kerana didakwa menyeludup minyak. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 11:05 AM