PENUNJUK perasaan serang balai polis. FOTO/AGENSI
Agensi

HONG KONG: Polis terpaksa menembak gas pemedih mata terhadap ratusan penunjuk perasaan yang menyerang sebuah balai polis di lokasi tumpuan pelancong Tsim Sha Tsui, semalam.

Penunjuk perasaan memecahkan tingkap beberapa kereta di tempat parkir polis serta menconteng dinding kawasan berkenaan dengan grafiti.

Salah seorang penunjuk perasaan ‘menembak’ sebuah bangunan dengan batu bata menggunakan lastik gergasi.

Lapor Al Jazeera, polis sudah menahan beberapa individu untuk siasatan.

Menurut polis, gas pemedih mata dilepaskan selepas penunjuk perasaan melakukan pembakaran di luar balai polis Tsim Sha Tsui dan merosakkan beberapa kenderaan.

Sebelum itu, puluhan ribu penunjuk perasaan berarak melalui daerah Mong Kok sebelum berpecah ke beberapa kawasan di Semenanjung Kowloon dan mendirikan halangan di laluan sibuk untuk menyekat aliran trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:02 AM