PESAWAT Canadair terhempas ketika cuba memadamkan api di selatan Perancis. FOTO/AFP
AFP

GENERAC (FRANCE): Seorang juruterbang pesawat pemadam kebakaran maut semalam selepas terhempas ketika cuba memadamkan api di selatan Perancis, kata pihak berkuasa tempatan.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 5.20 petang (waktu tempatan) dan siasatan segera dilancarkan, menurut pendakwa raya daerah Eric Maurel.

Maurel berkata, kemungkinan kebakaran itu dimulakan dengan sengaja.

Lewat semalam, kira-kira 530 anggota bomba dan 100 pasukan keselamatan digerakkan ke seluruh kawasan di Gard. Sebanyak 140 kenderaan dan empat pesawat Canadair dikerah untuk menangani kebakaran di Generac sahaja.

Kebakaran itu merosakkan hampir 800 hektar hutan, padang rumput dan ladang anggur di kawasan sekitar perkampungan Generac sejak Selasa lalu.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, berkata dia berasa sangat sedih dengan kematian pilot berkenaan.

“Semua sokongan saya untuk juruterbang @SecCivileFrance, kepada mereka yang memadamkan kebakaran dan juga keluarga mereka. #Generac,” katanya menerusi Twitter.

Pesawat Tracker milik Keselamatan Awam adalah pesawat terkecil yang digunakan untuk memadamkan kebakaran malah berupaya mengangkut sehingga 3,600 liter air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 10:20 AM