INDONESIA menghantar semula tujuh kontena sampah yang diimport secara haram dari Perancis dan Hong Kong.
AFP

JAKARTA: Indonesia menghantar semula tujuh kontena sampah yang diimport secara haram dari Perancis dan Hong Kong semalam, kata pihak berkuasa hari ini.

Menurut pegawai kastam di Pulau Batam, kontena terbabit mengandungi pelbagai sisa buangan termasuk plastik dan sisa berbahaya yang melanggar peraturan mengimport.

“Beberapa kontena itu dihantar semalam dan pegawai kami berada di lokasi untuk memastikan ia berlepas,” kata ketua pejabat kastam tempatan, Susila Brata.

Pihak berkuasa masih menunggu pelepasan untuk memulangkan 42 lagi kontena sampah di pelabuhan termasuk yang dihantar dari Amerika Syarikat, Australia dan Jerman.

Jakarta meningkatkan pemantauan terhadap sisa sampah import sejak beberapa bulan kebelakangan ini sebagai sebahagian usaha menghalang negara itu terus menjadi tempat pembuangan sampah asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 12:46 PM