FOTO hiasan
AFP

LIMA: Sekurang-kurangnya 19 penumpang terbunuh dan lapan lagi cedera selepas bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di sebuah jalan pergunungan di Peru, kata polis semalam.

Kemalangan berlaku di wilayah Canta, kira-kira 100 kilometer dari Lima pada jam 8.30 malam (waktu tempatan) pada malam kelmarin.

Jurucakap polis, Jorge Castillo memberitahu agensi berita Andina, mangsa yang terbunuh adalah 11 wanita dan lapan lelaki.

“Bas ini terbabas dan terjunam ke dalam gaung,” katanya.

Siasatan polis menunjukkan mungkin ada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu dan ketika kejadian cuaca dipercayai berkabus tebal.

Kemalangan maut sering berlaku di Peru akibat memandu laju, keadaan jalan raya yang teruk dan kurang pemantauan oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 12:34 AM