BERPULUH ribu belalang ‘menyerang’ sekitar kawasan Las Vegas. FOTO Mail Online
Agensi

LAS VEGAS: Berpuluh ribu belalang ‘menyerang’ sekitar kawasan Las Vegas, Amerika Syarikat sejak Khamis lalu yang dipercayai berpunca akibat keadaan cuaca yang lembap.

Beberapa rakaman menunjukkan serangga itu berterbangan di luar kawasan perniagaan bermula dari Mirage Hotel hingga ke Casino, lapor Daily Mail.

Rakaman yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @365inVegas menunjukkan orang ramai berjalan sambil menutup kepala untuk mengelak serangga berkenaan.

Penduduk berhampiran sudah menyedari kejadian itu yang berlaku di bandar terbabit serta beberapa kawasan lain di Nevada namun pakar menjelaskan orang ramai tidak perlu bimbang.

Ahli entomologi di Jabatan Pertanian Nevada, Jeff Knight berkata, ia adalah spesies belalang yang biasa ditemui di kawasan gurun.

Katanya, kehadiran belalang yang terlalu banyak itu boleh disebabkan oleh cuaca lembap berbanding biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:22 PM