PEGAWAI mahkamah terpaksa mengheret Tracie keluar. FOTO Agensi
Agensi

OHIO (AMERIKA SYARIKAT): Seorang bekas hakim yang dipenjara enam bulan kerana menggunakan kedudukannya untuk membantu adik lelakinya terpaksa diheret keluar dari kamar mahkamah selepas terlalu terkejut dengan hukuman terhadapnya itu.

Rakaman video mengejutkan dari dalam kamar mahkamah menunjukkan Tracie Hunter berdiri untuk menyerahkan diri kepada pegawai selepas dijatuhkan hukuman, tetapi tiba-tiba seperti kaku menyebabkan terpaksa diheret keluar.

Pada masa sama, jeritan kemudian didengar sebelum seorang wanita berlari ke arah meja pembelaan untuk menghalang Tracie digari. Wanita itu turut digari dan dibawa dari mahkamah.

Tracie yang juga bekas Hakim Juvana Daerah Hamilton disabitkan bagi kesalahan dilakukan pada 2014 iaitu campur tangan jenayah dengan kontrak apabila meluluskan adiknya, Stephen yang bertugas sebagai pegawai tahanan juvana sedangkan lelaki itu berdepan tindakan disiplin pada 2013 kerana memukul seorang pesalah muda ketika bertugas pada 7 Julai 2013.


SEORANG wanita ditahan cuba menghalang Tracie digari. FOTO Agensi

Majikan Stephen menyarankan dia dipecat, tetapi Tracie secara salah mendesak untuk diserahkan dokumen mengenai mangsa adiknya itu, sebelum memberi dokumen rahsia berkenaan kepada adiknya sebelum prosiding disiplin terhadapnya, lapor NBC.

Selain itu, Tracie juga berdepan tuduhan berasingan mengganggu bahan bukti dan pemalsuan.

Dia juga perlu melalui pemerhatian selama setahun selepas selesai hukuman penjaranya.

Tracie adalah orang Afrika Amerika pertama dilantik ke mahkamah juvana Hamilton pada 2010 dan menegaskan pendakwaannya bermotifkan politik.

“Saya tidak melanggar undang-undang atau mendapat manfaat daripada kontrak umum.

“Saya juga tidak mendapatkan kerja untuk adik saya, malah dia bekerja di situ tujuh tahun sebelum saya dilantik sebagai hakim,” katanya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 7:04 AM