MURILLO-Moncada ditemui tersepit antara penyejuk beku dan dinding selepas 10 tahun kehilangannya. FOTO: Agensi
Agensi

IOWA: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui tersepit kira-kira 45.72 sentimeter antara penyejuk beku dan dinding selepas dilaporkan hilang tanpa berita selama 10 tahun.

Daily Mail melaporkan, Larry Ely Murillo-Moncada yang juga pekerja di Supermarket No Frills di Council Bluffs, Iowa dilaporkan keluar dari rumahnya pada 28 November 2009 selepas bertelagah dengan ahli keluarganya dan tidak pulang keesokan harinya.

Selama satu dekad, polis tidak menemui sebarang petunjuk akan kehilangan Murillo-Moncada dalam kes orang hilang sehingga satu mayat yang sudah terhurai ditemui pada Januari lalu.

Kontraktor yang pergi ke Supermarket No Frills menjumpai mayat berkenaan ketika mahu mengeluarkan kelengkapan dan merobohkan unit penyejuk beku selepas pasar raya itu ditutup tiga tahun lalu.

Pihak berkuasa berkata, mayat itu kelihatan sudah terlalu lama mereput di pasar raya itu.

Hasil autopsi tidak menunjukkan sebarang tanda trauma dan kematiannya disebabkan kemalangan.

Sementara itu, sebahagian besar bekas pelanggan pasar raya itu mengaku di Facebook bahawa mereka selalu terhidu bau busuk ketika membeli barang di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:28 PM