GAMBAR Hiasan.
Agensi

JAKARTA: Kesungguhan tujuh kanak-kanak lelaki yang mahu menyambut korban pada Aidiladha tahun ini, tular di media sosial apabila berjaya mengumpulkan sejumlah wang untuk membeli seekor lembu.

Kanak-kanak berusia 13 tahun bernama Abu Bakar atau dikenali sebagai Iki bersama rakan sepermainannya Zhilal, 11; Sauqi, 11; Fauzan, 11; Sukatma, 12; Zalfa, 12; dan Yudi, 18, berasal dari Kampung Ardio, Cibogor di Bogor Tengah.

Kompas.com melaporkan, tujuh rakan baik itu menyimpan wang Rp5,000 (RM1.50) setiap hari, selama 10 bulan sehingga berjaya membeli seekor lembu berharga Rp19.5 juta (RM5,741).

Menurut Iki, setiap hari selepas pulang dari sekolah, dia mengutip wang daripada rakannya itu untuk disimpan di dalam tabung seperti dirancang mereka.

“Kami hanya ingin berkongsi sembelihan untuk hari raya ini, khususnya dengan penduduk kampung di sini.

“Sebahagian wang ganjaran selepas persembahan nasyid turut diasingkan,” kata Iki pada Kompas.com.

Kanak-kanak daripada lapan adik-beradik itu turut mengasingkan sebahagian wang hasil jualan minyak gasolin bersama kakaknya di Pasar Anyar, bandar Bogor.

Tribun News melaporkan, perasaan bangga turut dikongsi ibunya, Sati, 54, walapun pada mulanya berasa ragu dengan kemampuan anaknya itu.

“Saya jarang memberi wang belanja kepada Iki, tetapi dia sanggup menyimpan wang dengan mengasingkan simpanan yang diperolehnya.

“Saya berharap keikhlasan Iki dan rakannya menjadi contoh dan ikutan kanak-kanak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:45 PM