PENG Sheng-chu.
AFP

TAIPEI: Pengarah perisikan Taiwan meletak jawatan selepas seorang ejen yang mengiringi lawatan Presiden Tsai Ing-wen ke luar negara ditangkap cuba menyeludup hampir 10,000 karton rokok berharga lebih AS$200,000 (RM823,460).

Pejabat presiden berkata, Pengarah Biro Keselamatan Nasional (NSB), Peng Sheng-chu menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam sebagai bertanggungjawab dengan kejadian itu.

Pentadbiran Kastam memberitahu, skandal itu membabitkan seorang ejen keselamatan dalam rombongan Tsai yang cuba membawa 9,800 karton rokok melalui laluan VIP ketika pulang dari lawatan rasmi ke Caribbean semalam.

Ejen itu menempah rokok berkenaan secara dalam talian di Taiwan dan menyimpannya di sebuah gudang di lapangan terbang dan cuba menyeludup melepasi kastam menerusi laluan VIP untuk mengelak membayar cukai.

Tindakan ejen itu terbongkar selepas seorang ahli parlimen pembangkang memberi maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.

Pejabat Tsai berkata, presiden juga terkejut dan marah dengan skandal itu serta mengarahkan satu siasatan dijalankan.

Undang-undang kastam di Taiwan mengehadkan hanya maksimum lima karton rokok boleh dibawa masuk ke negara itu dan hanya satu tidak dikenakan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:58 PM