ASAP tebal sebuah bangunan kerajaan setinggi sembilan tingkat yang terbakar di Mumbai, India semalam. FOTO/REUTERS
Reuters

MUMBAI: Kira-kira 60 orang berjaya diselamatkan dari sebuah bangunan kerajaan setinggi sembilan tingkat yang terbakar di Mumbai, India semalam.

“Operasi menyelamat hampir selesai. Kami mencari di setiap tingkat bangunan untuk memastikan tiada mangsa lain,” kata jurucakap bomba.

Kata jurucakap itu lagi, tiada mangsa yang maut dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan kebakaran tercetus di tingkat tiga dan empat di bangunan yang menempatkan pejabat syarikat telekomunikasi milik negara, MTNL, sehingga menyebabkan pekerja terpaksa lari ke bumbung bangunan itu.

Operasi menyelamat disertai sebuah pasukan terdiri daripada 175 anggota bomba dan 16 jentera pemadam kebakaran.

Pada awalnya, pihak berkuasa perbandaran menganggarkan 100 orang mungkin terperangkap dalam bangunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 12:28 AM