BUDAK lelaki disangka hilang rupanya memandu traktor mainannya sejauh 200 meter ke pesta ria berhampiran kediamannya.
Agensi

MINNESOTA: Seorang budak lelaki berusia dua tahun yang disangka hilang rupanya memandu traktor mainannya sejauh 200 meter ke pesta ria berhampiran kediamannya.

Ibu bapa Kenneth Allen melaporkannya hilang, malah ibunya, Lynn mengakui dia menyangka ada orang mengambil anaknya itu, lapor Mail Online.

Dia akhirnya dikesan polis Rush City di pesta ria berhampiran selepas memandu permainan traktor bermotor di atas kaki lima dengan kelajuan 1.6 kilometer sejam. Malah, dia ditemui di sebelah permainan kegemarannya di pesta itu.

Dalam kenyataan di Facebook, polis daerah Chisago secara berseloroh berkata, bapa Kenneth ‘menggantung lesen kanak-kanak itu dengan membuang bateri pada traktor berkenaan.’

Bapanya, Kristopher berkata, dia mengambil iktibar dan tidak marahkan anaknya itu.

“Biasalah budak-budak. Tetapi lain kali dia perlu ingat tidak dibenarkan keluar dari pekarangan rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:57 PM