KIM Draper menunjukkan poskad berusia 26 tahun yang dijumpainya didalam kotak suratnya.
Agensi

ILLINOIS (AMERIKA SYARIKAT): Seorang wanita di Springfield, Minnesota, terkejut apabila menemui poskad bertarikh 9 Julai 1993 yang dihantar dari Hong Kong ke Amerika Syarikat ketika memeriksa kotak suratnya.

South China Morning Post melaporkan, poskad itu diterima 26 tahun kemudiannya namun dihantar ke alamat yang salah, membuatkan Kim Draper cuba menjejak pemilik poskad berkenaan yang sebenarnya ditujukan buat anak pengirimnya.

“Saya bersungguh-sungguh mencari mereka kerana mungkin bapa mereka sudah meninggal dunia disebabkan terlalu lama (hilang tanpa berita).

“Sekiranya (poskad itu untuk) saya, saya mahu ia dikembalikan dan akan menghargai tulisan tangan bapa saya.

“Namun, saya tidak tahu sama ada Leena dan Muhammad Ali Kizilbash adalah adik-beradik atau pasangan suami isteri,” kata Draper kepada Post selepas berita mengenai poskad berkenaan tersiar di akhbar dan televisyen tempatan.


POSKAD bertarikh 9 Julai 1993 yang dihantar dari Hong Kong ke Amerika Syarikat.

Pencarian keluarga Kizilbash berakhir di Chicago apabila mereka menemui Masrour Kizilbash, 78, yang juga pengirim poskad serta bapa kepada Leena, 50, serta Muhammad, 45, dan kini tinggal bersama isterinya, Yasmin.

Ketika menghantar poskad berkenaan, Masrour jurutera empangan yang bertugas di Empangan Ertan di Panzhihua, bandar di wilayah Sichuan antara Kunming dan Chengdu di China.

Dalam poskadnya itu, dia bercerita mengenai persekitarannya dan membayar setem HK$2.30 (RM1.22). Pada hadapan poskad memaparkan gambar sampan dan bot kayu yang dijadikan rumah dan restoran di Teluk Castle Peak di daerah Tuen Mun di timur laut Hong Kong.

“Kami sangat berterima kasih kerana Kim berusaha memulangkan poskad itu kepada kami. Ia mengembara melalui masa, seperti mesej dalam botol,” kata Muhammad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:59 PM