KESAN serangan udara tentera Russia di sebuah pasar di timur laut Syria. FOTO aljazeera.com
AFP

MAARET AL-NUMAN (Syria): Serangan udara tentera Russia di sebuah pasar di timur laut Syria yang dikuasai kumpulan pemberontak semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh, kata pemerhati.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, pada pagi Ahad lalu beberapa serangan udara mengenai pasar sayuran dan kawasan sekitarnya di bandar Maaret al-Numan di Idlib menyebabkan 23 orang awam terbunuh.

Sekurang-kurangnya, 45 lagi cedera.

Jumlah kematian dijangka meningkat kerana kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan sebilangan lagi masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Bagaimanapun, Russia menafikan bertanggungjawab dalam serangan itu dan mendakwa laporan itu sebagai palsu.

Wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak termasuk dalam perjanjian gencatan antarabangsa sejak sebulan lalu tetapi ia sering dibom tentera rejim Syria dan sekutunya, Russia sejak lewat April lalu.

Peningkatan serangan itu menyebabkan lebih 650 orang awam terbunuh dan merosakkan atau memusnahkan lebih 20 pusat perkhidmatan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:36 PM