EIKO Kimura (kiri) dan Yasuhiko Funago.
AFP

TOKYO: Pemilihan dua calon kurang upaya (OKU) di Parlimen Jepun dipuji oleh aktivis yang melihat ia boleh meningkatkan kefahaman serta meningkatkan infrastruktur komuniti berkenaan.

Yasuhiko Funago mengalami penyakit neuron motor atau Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) manakala Eiko Kimura pula menghidap Cerebral Palsy.

Kedua-dua calon yang menggunakan kerusi roda itu dipilih dalam pilihan raya Dewan Negara atas tiket parti pembangkang yang baru dibentuk, lapor AFP.

“Saya mungkin kelihatan sakit namun mempunyai semangat yang kuat. Saya mempertaruhkan nyawa sendiri. Saya tidak mahu OKU lain menderita seperti saya,” kata Funago dalam mesej yang dibacakan oleh penjaganya selepas menang dalam pilihan raya itu.

Dia adalah individu pertama yang mengalami ALS dipilih di Parlimen walaupun terdapat ahli parlimen yang menggunakan kerusi roda sebelum ini.

Kemenangan dalam pilihan raya itu dicapai ketika kerajaan berusaha untuk meningkatkan kemudahan untuk golongan OKU menjelang Sukan Paralimpik tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:38 PM