PENUNJUK prasaan kembali berhimpun membantah undang-undang ekstradisi malam tadi. FOTO Reuters
Agensi

HONG KONG: Polis Hong Kong menahan tiga lelaki dan merampas sejumlah besar letupan dianggap yang terbesar di bandar itu di sebuah makmal di dalam sebuah bangunan perindustrian pada ambang bantahan antikerajaan besar-besaran di bandar itu pada lewat Sabtu.

Superintendan Steve Li Kwai-wah dipetik South China Morning Post berkata, seorang lelaki berusia 27 dan dua berusia 25 tahun ditahan untuk membantu siasatan, termasuk mengenal pasti sama ada letupan berkenaan mempunyai kaitan dengan protes besar-besaran semalam.

Sementara itu, Superintendent Alick McWhirter dari Unit Pelupusan Bahan Letupan berkata: “Saya percaya ini rampasan terbesar seumpamanya di Hong Kong. Bahan dirampas termasuk triacetone triperoxide (TATP) yang amat tidak stabil dan berbahaya.”

Menurut laporan, anggota keselamatan bertindak atas maklumat menyerbu bangunan itu pada lewat Jumaat dan menemui dua kilogram letupan kuat, 10 bom petrol serta bahan berasid yang sedang diproses selain pisau serta batang besi.

TATP pernah digunakan dalam serangan pengganas di seluruh dunia termasuk ketika serangan bom di London pada 7 Julai 2005, yang membunuh 52 orang dan mencederakan lebih 700 yang lain.

Bahan lain turut dirampas di lokasi itu pada Sabtu lalu termasuk kemeja T dengan logo kumpulan prokebebasan, Barisan Kebangsaan Hong Kong, risalah tertulis ‘tiada ekstradisi ke China’ selain berkaitan dengan protes besar-besaran pada 9 Jun lalu.

AFP melaporkan, puluhan ribu orang berarak dalam perhimpunan besar-besaran antikerajaan semalam yang pertama kali dicetuskan rang undang-undang ekstradisi ke China namun kini berkembang menjadi desakan pembaharuan demokrasi serta membantah kekangan hak di wilayah separa autonomi itu.

Perhimpunan semalam diadakan pada hujung minggu ketujuh berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:43 AM