MEXICO menuntut kekayaan El Chapo yang dirampas kerajaan Amerika Syarikat. FOTO Agensi
Agensi

MEXICO CITY: President Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador menuntut Amerika Syarikat mengembalikan wang dan aset milik raja dadah negara itu, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang dipenjara di New York, Rabu lalu.

El Chapo dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan turut diarahkan membayar denda AS$12.6 bilion (RM51.78 bilion) kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Jumlah denda itu dikatakan hasil pengedaran dadah El Chapo ketika menjadi ketua Kartel Sinaloa.

Namun pada Khamis lalu, Lopez Obrador menegaskan wang itu perlu dikembalikan kepada Mexico iaitu negara asal El Chapo.

SEJUMLAH wang yang dirampas polis dari kediaman El Chapo. FOTO Agensi

Pemimpin itu turut menuntut Amerika Syarikat mengembalikan aset dianggarkan sebanyak AS$14 bilion (RM57.54 bilion) yang dirampas dari El Chapo.

Lopez Obrador mempercayai kerajaan Amerika Syarikat akan bersetuju dengan tuntutan itu dan perlu melengkapkan kertas kerja terlebih dahulu.

Tuntutan Lopez Obrador datang susulan sokongan ahli politik Amerika Syarikat terhadap cadangan kontroversi Presiden Donald Trump untuk membina tembok di sempadan dua negara itu.

Sementara itu, Senator Nebraska, Ben Sasse dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Amerika Syarikat sepatutnya menggunakan wang El Chapo untuk membina tembok di sempadan selatan.

“El Chapo meringkuk di penjara seumur hidup, jadi pihak berkuasa perlu merampas wang haram miliknya untuk mengetatkan keselamatan sempadan negara.

“Banduan itu sudah tidak perlu wang kerana dia diberikan makanan tiga kali sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:39 AM