LELAKI itu memanjat dan bergerak di atas sayap pesawat Azman Air. FOTO: Agensi
Agensi

ABUJA: Seorang lelaki mengejutkan penumpang sebuah pesawat apabila dia dilihat menaiki sayapnya ketika ia cuba berlepas dari lapangan terbang di Lagos, Nigeria pada Jumaat lalu.

Daily Mail melaporkan, kejadian itu dapat dilihat menerusi satu rakaman apabila lelaki tidak dikenali berkenaan memanjat dan bergerak di atas sayap pesawat Azman Air di lapangan terbang antarabangsa paling sibuk negara terbabit.

Tindakannya mencetuskan panik kepada penumpang yang segera memaklumkan kru penerbangan membuka pintu kecemasan namun, tidak dapat dipastikan apa yang sebenarnya yang cuba dilakukan oleh lelaki itu.

Menurut jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Nigeria, Henrietta Yakubu, penceroboh berkenaan masuk ke kawasan landasan ketika juruterbang menunggu isyarat daripada pengawal trafik udara untuk berlepas.

Kehadirannya yang disedari menyebabkan juruterbang segera memadam enjin dan berpatah balik untuk pemeriksaan lebih teliti sebelum berlepas ke Port Harcourt.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:16 PM