PENGARAH Avengers: Endgame, Joe dan Anthony Russo menjawab soalan ketika sesi soal jawab di Comic-Con. -Foto AFP
Reuters

SAN DIEGO: Filem Avengers: Endgame hampir pasti diangkat sebagai filem paling berjaya, kata pengedar filem itu, Walt Disney Co.

Reuters yang memetik kenyataannya berkata, jualan tiket filem terbabit dijangka mengatasi rekod filem Avatar arahan James Cameron yang meraih kutipan AS$2.789 bilion (RM11.4 bilion) pada 2009.

Endgame yang ditayangkan di pawagam pada April lalu adalah kemuncak kepada 22 filem Marvel sebelum ini yang berjaya menarik peminatnya sejak tempoh satu dekad lalu.

Presiden Marvel Studios, Kevin Feige yang memberitahu peminat di Comic-Con berkata, mereka yakin Endgame akan mencapai kejayaan besar itu.

Bagaimanapun katanya, filem itu mungkin akan tewas kepada filem seterusnya yang akan diarahkan oleh Cameron iaitu empat sekuel Avatar dijangka ditayangkan bermula Disember 2021.

Avengers: Endgame dibintangi Robert Downey Jr, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson dan beberapa pelakon lain membawakan watak kumpulan adiwira yang menentang musuh mereka iaitu watak Thanos yang dijayakan oleh pelakon Josh Brolin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 1:13 PM