KAPAL tangki membawa bendera Britain di Selat Hormuz. FOTO AFP
Agensi

TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran semalam mengumumkan rampasan ke atas kapal tangki membawa bendera Britain di Selat Hormuz atas kesalahan maritim antarabangsa, serentak dengan ketegangan yang semakin memuncak di perairan berkenaan.

Bagaimanapun Britain berkata, Iran merampas dua kapal di Teluk manakala Setiausaha Luar, Jeremy Hunt memberi amaran isu berkenaan kemungkinan serius jika tidak diselesaikan segera.

Pemilik satu daripada dua kapal berkenaan, Mesdar yang berpangkalan di Liberia berkata, kapal terbabit pada mulanya dikuasai pegawai bersenjata namun kini dibebaskan dan diberi kebenaran meneruskan perjalanan.

Insiden terbaru itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan tentera negaranya berjaya menembak jatuh dron milik Iran yang mengancam kapal milik tentera laut AS di Selat Hormz, walaupun dinafikan negara Teluk itu.

“Kapal tangki Stena Impero sudah dirampas kerana gagal menghormati undang-undang maritim antarabangsa.

“Kapal itu ditunda ke tepi dan diserahkan kepada pertubuhan untuk menjalani prosedur perundangan dan siasatan,” kata laman web rasmi pengawal, Sepahnews semalam.

Perkhidmatan pengesan kapal tangki, Marine Traffic menunjukkan bahawa kapal Steno Impero yang dimiliki sebuah syarikat dari Sweden kali akhir memberi isyarat lokasi berhampiran Kepulauan Larak di perairan sensitif itu pada jam 9 malam (waktu tempatan).

Kapal terbabit singgah di Selat Hormuz dan berada dalam perairan antarabangsa apabila diserang pesawat kecil tidak dikenali dan helikopter.

“Kami buat masa ini gagal menghubungi kapal berkenaan dan pengesan menunjukkan ia menuju ke utara Iran,” kata kenyataan syarikat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 4:08 PM