GAMBAR Hiasan.
AFP

BAITULMAQDIS: Sebuah syarikat Israel yang dikesan memasang perisian intip pada aplikasi WhatsApp sebelum ini, memaklumkan pelanggannya bahawa ia juga boleh mengambil data daripada platform media sosial utama dunia, lapor Financial Times hari ini.

Akhbar itu melaporkan, syarikat terbabit, NSO Group memberitahu pembeli mengenai teknologinya yang boleh mencuri data individu menerusi pangkalan milik Apple, Google, Facebook, Amazon dan Microsoft, kata individu yang biasa dengan pembentangan jualan mereka.

Jurucakap NSO dalam kenyataannya kepada AFP bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Terdapat salah faham mengenai NSO, perkhidmatan serta teknologinya. Produk NSO tidak mempunyai keupayaan untuk mengumpul dan mengakses aplikasi awan, perkhidmatan, infrastruktur seperti disenaraikan dalam artikel Financial Times hari ini,” katanya.

Mei lalu, aplikasi Whatsapp menasihati pengguna mengemas kini aplikasi itu secepat mungkin selepas mengesan perisian intip yang dipasang syarikat terbabit untuk mengintip aktiviti hak asasi manusia dan wartawan.

Ia tidak menamakan suspek tetapi seorang penganalisa di Washington yang juga ketua pakar teknologi di Pusat Demokrasi dan Teknologi, Joseph Hall berkata perbuatan menggodam itu mempunyai kaitan dengan perisian Pegasus syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:26 PM