SATU letupan besar memusnahkan sebuah loji gas di tengah China.
AFP

BEIJING: Satu letupan besar memusnahkan sebuah loji gas di tengah China, hari ini hingga beberapa bangunan yang terletak dalam kawasan seluas tiga kilometer radius turut rosak, lapor media tempatan.

AFP yang memetik stesen televisyen CCTV melaporkan, angka kematian bagaimanapun masih belum dikenal pasti dalam kejadian di bandar Sanmenxia, wilayah Henan itu.

Kejadian membabitkan loji gas Yima itu dipercayai berlaku pada jam 5.50 petang waktu tempatan.

“Tingkap dan pintu beberapa bangunan dalam kawasan seluas tiga kilometer radius turut pecah akibat letupan itu,” lapor CCTV di akaun Weibo.

Kemalangan maut industri sering dilaporkan berlaku di China akibat langkah keselamatan yang tidak dilaksanakan dengan baik.

Mac lalu, satu letupan membabitkan sebuah loji kimia di timur wilayah Jiangsu menyebabkan seramai 78 orang maut manakala beratus lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:14 PM