ANGGOTA keselamatan membawa mangsa ke hospital. FOTO/AFP
AFP

SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan maut selepas membakar dirinya di hadapan kedutaan Jepun di Seoul, hari ini, kata polis.

“Lelaki berusia 70-an itu dilapor menyalakan api di dalam kenderaannya yang diletakkan di hadapan bangunan kedutaan dan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Kira-kira 20 kanister gas pakai buang turut ditemui di dalam keretanya,” kata pihak berkuasa.

Media tempatan melaporkan, bapa mertua lelaki berkenaan adalah mangsa buruh paksa tentera Jepun ketika perang dunia.

Insiden itu berlaku dikatakan berpunca akibat ketegangan hubungan antara Seoul dan Tokyo berkait isu buruh.

Jun lalu, Jepun melancarkan sekatan keras ke atas barangan eksport penting membabitkan beberapa syarikat gergasi teknologi Korea Selatan dengan alasan antaranya, Seoul tidak kendalikan eksport bahan sensitif dari Jepun dengan baik.

Seoul mempertikaikan kenyataan Tokyo dengan mengatakan, negara itu bertindak demikian selepas mahkamah Korea Selatan mengarahkannya membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa beberapa dekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:03 PM