ANGGOTA keselamatan sedang mengawasi keadaan. FOTO/REUTERS
Agensi

KABUL: Sekurang-kurangnya empat maut dan 16 lagi cedera selepas sebutir bom meletup berhampiran sebuah universiti di Kabul, hari ini.

AFP melaporkan, letupan berkenaan berlaku berhampiran pintu masuk selatan ke Universiti Kabul, kata seorang pegawai media dari Kementerian Dalam Negeri kepada AFP.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Wahidullah Mayar menerusi Twitter berkata empat mayat dan 16 yang cedera sudah dibawa ke hospital.

Reuters melaporkan, insiden letupan berlaku ketika sebilangan pelajar sedang menunggu berhampiran pintu masuk kampus untuk menduduki peperiksaan.

Seorang saksi berkata, letupan itu mengakibatkan sebuah kenderaan terbakar.

Jurucakap polis Kabul, Faramarz Firdaw, berkata sepasukan anggota polis berjaya mematikan satu lagi bom yang diletakkan berhampiran lokasi letupan pertama iatu di pintu masuk universiti terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:27 PM