GAMBAR HIASAN
AFP

SYDNEY: Seorang kanak-kanak lelaki berjaya menemui sepucuk surat di dalam botol di sebuah pantai di pedalaman Australia, dipercayai milik seorang lelaki Britain yang mencampaknya ke laut ketika menaiki kapal, kira-kira 50 tahun lalu.

Namun, Jyah Elliott, 9, perlu menunggu sebelum dapat berjumpa pemilik botol itu yang kini berusia 63 tahun disebabkan lelaki itu sedang belayar di kawasan Baltik, lapor stesen penyiaran ABC.

Elliott menemui botol berkenaan dalam kawasan pantai di selatan Australia pada Selasa lalu dan keesokan harinya, penulis surat berjaya dijejaki.

Penulis surat iaitu Paul Gilmore berusia 13 tahun pada 17 November 1969, ketika dia dilapor mencampakkan sebuah botol di Lautan Hindi dengan harapan memperoleh kawan baharu.

Surat berkenaan memaklumkan kedudukan kapal dinaiki Gilmore iaitu kira-kira 1,600 kilometer di timur Fremantle, Australia Barat, turut meminta penerima supaya membalasnya.

Pada awalnya, Elliott menganggap surat itu sebagai palsu, tetapi dia tetap membalasnya sehari selepas menemuinya.

“Dia berasa sangat teruja,” kata ibunya, Carla Elliott kepada ABC.

Dalam pada itu, kakak Gilmore, Annie Crossland memberitahu ABC bahawa adiknya sedang belayar dan akan menghubungi Elliott sebaik sahaja pulang dari pelayarannya.

Gilmore menghantar enam botol dari TSS Fairstar iaitu kapal ‘10-pound Pom’ yang mengangkut pendatang dari Great Britain ke Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:07 PM