MARK Rutte berucap ketika Majlis peringatan MH17.
AFP

THE HAGUE: Keluarga mangsa penerbangan MH17 menyambut ulang tahun kelima pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine semalam, tidak sampai sebulan selepas tiga rakyat Russia dan seorang Ukraine didakwa bertanggungjawab terhadap kematian 298 penumpang serta anak kapal pesawat Malaysia Airlines itu.

Keluarga mangsa dan orang ramai berkumpul di monumen tragedi berkenan di Belanda dikelilingi 298 pokok yang ditanam mewakili setiap mangsa serta bunga matahari yang benihnya diambil dari lokias pesawat terhempas di Ukraine.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, berkata ‘kesedihan dirasai di seluruh dunia hari ini’ ketika berucap kepada keluarga mangsa di monumen di Vijfhuizen, dekat Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, di mana pesawat 777 malang itu berlepas ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

“Keadilan untuk mereka yang terbunuh tetap menjadi keutamaan kita dan bulan lalu, kita mencapai langkah baru yang penting.

“Kita belum mencapai sasaran itu namun perjalanan kita semakin dekat, semakin hampir dengan kebenaran,” katanya.

Bendera negara semua mangsa dikibarkan separuh tiang. Seramai 169 mangsa adalah rakyat Belanda, selain Australia, Malaysia, Indonesia, United Kingdom, Belgium, Jerman, New Zealand, Kanada dan Filipina.

Majlis peringatan juga diadakan di Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur yang dihadiri keluarga mangsa, duta negara yang terbabit serta wakil kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:35 AM