GAMBAR hiasan
AFP

TEHRAN: Tiga bayi antara 13 orang yang terbunuh selepas sebuah bas mini terhumban ke dalam gaung di tengah Iran, semalam, lapor agensi berita kerajaan negara itu, IRNA.

Gabenor bandar Khansar, Mansour Kamali, berkata brek bas Mercedes-Benz berusia 1970-an itu gagal berfungsi, semasa menurun bukit di wilayah Isfahan.

“Seramai 10 dewasa dan tiga bayi maut manakala sembilan orang lagi cedera.

“Kemalangan itu berlaku antara bandar Buin va Miandasht dan Khansar,” kata Kamali yang dipetik IRNA.

Walaupun secara umumnya keadaan jalan di Iran adalah baik, negara itu mempunyai kadar kematian jalan raya tertinggi di dunia.

Kemalangan berpunca disebabkan kenderaan usang kerana sekatan ekonomi dan sikap tidak acuh terhadap keselamatan asas di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:13 AM