DARI kiri, Alexandria, Ayanna Pressley, Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mahu dakwa Presiden AS. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON DC: Empat Ahli Kongres wanita dari Demokrat yang diserang secara perkauman melalui Twitter oleh Presiden Donald Trump menegaskan mereka tidak boleh didiamkan sebaliknya akan menumpukan perhatian terhadap imigran yang ditahan di sempadan serta isu lain, termasuk penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Dalam sidang media bersama semalam, Alexandria Ocasio-Cortez, Ilhan Omar, Ayana Pressley dan Rashida Tlaib menyatakan serangan Trump itu bertujuan mengalihkan tumpuan daripada dasar presiden berkenaan.

Mereka menjawab kecaman perkauman oleh Trump melalui Twitter kelmarin, dan komen presiden itu semalam, yang antara lain menyuruh ‘mereka pulang ke negara asal.’

Trump melalui di Twitter semalam, menyatakan mereka ‘sepatutnya meninggalkan Amerika Syarikat jika tidak gembira berada di negara itu’.

Walaupun Trump tidak menyatakan ahli politik terbabit, namun semua pihak tahu beliau merujuk kepada empat Ahli Kongres baru itu yang sering dikritiknya sejak perlantikan mereka awal tahun ini.

Semua empat ahli kongres wanita itu adalah rakyat Amerika namun bukan berkulit putih. Hanya Ilhan dilahirkan di luar Amerika.

“Ia adalah gangguan, mengalihkan tumpuan daripada kekecohan dan budaya korup dalam pentadbirannya.

“Kami mahu melaksanakan tugas diamanahkan rakyat iaitu mengurangkan kos ubat, krisis penjagaan kesihatan awam, keganasan senjata api, perbezaan kekayaan antara kaum dan keluarga kekal bersama,” kata Pressley.

Ilhan yang sering menjadi sasaran Twitter Trump, berkata: “Kita boleh meletakkannya bertanggungjawab terhadap jenayahnya.

“Sudah tiba masanya untuk kita berhenti membenarkan presiden ini mempersendakan perlembagaan. Sudah tiba masanya kita mendakwa presiden ini.

“Ini adalah agenda nasionalis putih. Beliau sudah memecah belahkan negara kita berdasarkan agama, bangsa, jantina atau status imigresen kerana hanya itu cara diketahuinya untuk menghalang perpaduan kita bekerjasama tanpa mempedulikan perbezaan kita.”

Kenyataan Trump itu menerima kecaman banyak pihak, termasuk pemimpin negara asing dan ahli politik kedua-dua pihak di Amerika iaitu Demokrat dan Republikan.

Sebahagian besar pemimpin Republikan enggan mengulas namun ada anggota parti pimpinan Trump itu berpendapat beliau keterlaluan.

Senator Republikan, Tim Scott, satu-satunya senator kulit hitam dalam Republikan berkata, presiden menggunakan ‘bahasa perkauman yang keterlaluan’ manakala Ahli Kongres Republikan, Mike Turner, mendesak Trump memohon maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 7:35 AM