TEMPAT kejadian wanita maut akibat mercun.
Agensi

MADRID: Seorang wanita maut selepas satu mercun roket termasuk ke dalam mulutnya dan meletup ketika satu persembahan bunga api sempena satu pesta di sebuah pekan di Sepanyol.

Mail Online melaporkan, wanita berusia 56 tahun itu mati di tempat kejadian dan pasukan perubatan yang berada di pesta itu tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan mangsa.

Polis memberitahu, seorang lelaki yang menyalakan sumbu mercun itu sudah ditangkap dan mungkin didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian.

Kejadian mengerikan itu berlaku di pekan Viso del Marques ketika penduduknya menyambut satu perayaan keagamaan.

Wanita itu yang juga penduduk tempatan dilaporkan berada bersama orang ramai sebelum mercun roket terbang ke arahnya.

Saksi memberitahu, mercun roket itu masuk ke mulut mangsa dan meletup.

Kejadian itu menyebabkan pesta itu dibatalkan.

Pihak berkuasa pekan itu mengumumkan hari berkabung selama dua hari susulan kemalangan itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Bendera di pekan itu juga dikibarkan separuh tiang.

Pekan itu mempunyai kira-kira 2,000 penduduk dan wanita yang maut berkenaan sering terbabit dalam aktiviti komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:28 AM