PENDUDUK terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atap rumah akibat banjir besar.
AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 180 orang maut dan berjuta-juta penduduk lagi terjejas akibat hujan lebat di Asia Selatan yang mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan rumah runtuh dihanyutkan banjir besar.

Hujan lebat akibat monsun yang bermula dari Jun hingga September mencetuskan bencana yang melanda seluruh India, Nepal, Bangladesh dan wilayah Kashmir yang dikuasai Pakistan.

“Seluruh komuniti terputus hubungan akibat banjir dan meningkatkan risiko kebuluran dan penyakit,” kata jurucakap Persekutuan Antarabangsa Palang Merah, Xavier Castellanos.

Di Mumbai, hujan lebat menyebabkan sebuah bangunan di kawasan penduduk yang padat runtuh mengakibatkan tujuh orang maut.

“Operasi menyelamat masih diteruskan dan kami menjangkakan lebih 10 orang masih terperangkap di bawah sisa runtuhan,” kata jurucakap agensi pengurusan bencana Mumbai, Tanaji Kamble.

Di Bangladesh pula, hampir satu pertiga negara itu yang mempunyai beratus-ratus sungai ditenggelami air, kata Pusat Amaran dan Ramalan Banjir Negeri, Arifuzzaman Bhuyan.

Sekurang-kurangnya 14 sungai utama termasuk Brahmaputra sudah melepasi tebing dan paras air diatas tahap bahaya.

Jumlah kematian di negara itu meningkat kepada 34 orang termasuk lima kanak-kanak yang lemas, 18 dipanah petir dan tujuh lagi maut selepas bot mereka terbalik akibat ombak kuat di Teluk Benggala.

Sekurang-kurangnya 78 maut dan lebih 16,000 keluarga dipindahkan di Nepal akibat banjir besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:01 AM