TRUMP
Agensi

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikecam hebat selepas mengeluarkan kenyataan perkauman meminta beberapa ahli kongres wanita ‘pulang’ ke negara asal dan membaiki masalah di negara itu sebelum ‘mengajarnya’ bagaimana menguruskan kerajaan.

“Encik Presiden, negara ‘asal saya’ dan ‘negara saya bersumpah’ adalah Amerika Syarikat.

“Namun, melihat bagaimana anda memusnahkan sempadan kami dengan kem yang tidak berperikemanusiaan, yang memberi manfaat kepada anda dan pihak lain, kamu betul mengenai rasuah yang berada di kaki anda,” kata ahli kongres Alexandria Ocasio-Cortez di Twitter.

Ibu Alexandria Ocasio-Cortez berasal dari Pueto Rico namun beliau dilahirkan di New York.

Menurut Daily Mail kolumnis terkenal, Megan McCain turut mengecam Trump dan penyokongnya yang cuba memutar belit kenyataannya itu.

“Saya lihat penyokong Trump cuba memutar belit kenyataan itu dengan mengatakan hanya ditujukan kepada ahli kongres, Ilhan Omar tetapi kita semua tahu ia satu penipuan.

“Namun, sekiranya ia ditujukan kepada Ilhan, ia tetap berbentuk perkauman. Kita tidak boleh meminta sesiapa yang diterima di negara ini untuk pulang semula ke negara asal,” kata Megan.

Illhan dalam kenyataannya di Twitter berkata, sebagai ahli kongres, negara yang dia bersumpah untuk pertahankan adalah Amerika.

“Sebab itu kami berjuang untuk melindunginya daripada presiden yang paling teruk dan tidak cekap pernah kami lihat,” kata Ilhan yang dilahirkan di Somalia dan beragama Islam.

Pada awal Ahad lalu, Trump mengeluarkan satu kenyataan di Twitter yang meminta beberapa ahli kongres wanita membaiki masalah yang negara asal mereka sebelum terbabit dengan politik di negara itu.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Alexandria, Ilhan dan dua lagi ahli kongres, Ayanna Pressley serta Rashida Tlaib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:48 AM