MAYAT Kim Jong-Il yang dipamerkan di Istana Matahari, Pyongyang. FOTO Agensi
Agensi

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara dilaporkan memaksa rakyatnya membiayai kos pengurusan memelihara mayat bapa dan datuknya iaitu Kim Jong-Il dan Kim Il-Sung berjumlah AS$570,000 (RM2.3 juta) setahun.

News.com.au melaporkan, Kim Jong-un yang dilantik sebagai pemimpin tertinggi Korea Utara pada 2011 susulan kematian bapanya, Kim Jong-Il, banyak bergantung kepada ‘sumbangan wajib’ daripada rakyat untuk menampung kos memelihara dua mayat terbabit.

Menurut sumber pertubuhan bukan kerajaan kepada Radio Free Asia (RFA), pihak berkuasa kini mahu mewujudkan udang-undang supaya orang ramai menyumbang untuk pemeliharaan mayat Kim Jong-Il dan Kim Il-sung.

Mayat kedua-dua bekas pemimpin itu dipamerkan di Istana Matahari di Pyongyang, ibu negara Korea Utara dan RFA menganggarkan pembiayaan kedua-duanya sehingga RM2.3 juta setahun.

Menurut sumber berkenaan, seorang pekerja kilang diberi anugerah ketika upacara rasmi selepas dia menyumbangkan wang untuk dana Kim Il-sung dan Kim Jong-Il.

Keadaan itu mewujudkan tekanan besar apabila semua rakyat negara itu digalak membuat sumbangan.

“Parti itu memaksa pekerja membuat sumbangan tetap kepada Istana Matahari dan sebagai balasan, penderma menerima pujian dan keutamaan istana.

“Sumbangan tetap disalurkan terus ke dalam dana Kim Il-sung dan Kim Jong-Il bertujuan menghormati pemimpin hebat terdahulu kerana memberi kemakmuran dan kebahagiaan kepada negara.

“Ada yang menganggap ia tidak wajar kerana kerajaan mengabaikan kehidupan rakyat tetapi mengumpulkan wang untuk mengelak mayat membusuk,” kata sumber itu kepada RFA.

Awal tahun ini, Reuters mendedahkan pakar saintis Russia diberi tanggungjawab memelihara mayat pemimpin di beberapa negara komunis seperti Korea Utara dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:27 AM