ENAM lembu agresif baka khas dilepaskan dari kandang dan peserta akan cuba mengelakkan diri daripada ditanduk atau dipijak haiwan berkenaan. FOTO: Reuters
Reuters

PAMPLONA: Enam pelari tercedera dengan tiga daripadanya disondol lembu pada hari terakhir festival tahunan San Fermin di bandar Pamplona, Sepanyol, lapor Persatuan Palang Merah hari ini.

Setiap pagi sejak 7 hingga 14 Julai lalu, ribuan orang dengan sebahagian besar memakai baju T tradisional berwarna putih dan skarf merah, berbaris di sepanjang jalan sempit bandar Zaman Pertengahan itu untuk mengambil bahagian dalam acara berusia ratusan tahun iaitu lari bersama lembu.

Dalam larian sejauh 875 meter itu, enam ekor lembu agresif baka khas dilepaskan dari kandang manakala peserta akan cuba mengelakkan diri daripada ditanduk atau dipijak haiwan berkenaan.

Palang Merah berkata, enam pelari yang cedera itu dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pegawai perubatan memberitahu, tiga pelari yang disondol lembu masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian ketiak, lengan dan kaki.

Kesemua lembu berkenaan akan dibunuh selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 9:27 PM