BEBERAPA kedai di Paris tengah dipecah masuk.
AFP

PARIS: Beberapa kedai di Paris tengah dipecah masuk, manakala seorang wanita maut dirempuh kereta di selatan Perancis selepas kemenangan pasukan bola sepak Algeria, semalam.

Penyokong Algeria membanjiri Champs-Elysees dan Vieux Port malam tadi selepas kelab itu menewaskan Ivory Coast, sekali gus layak ke peringkat separuh akhir Piala Negara Afrika.

Dua premis perniagaan termasuk kedai menjual motosikal berhampiran Champs-Elysees dipecah masuk dan barangan seperti topi keledar, sarung tangan serta motosikal dicuri.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan ribuan orang yang berhimpun di dua lokasi berkenaan dan menahan seramai 43 individu untuk siasatan.

Di bandar Montpellier, seorang penyokong Algeria hilang kawalan kereta dan merempuh tiga beranak, menyebabkan seorang wanita terbunuh, manakala bayinya cedera serius, kata pihak berkuasa.

Pemandu lelaki berusia 21 tahun itu dilaporkan memandu dengan laju di kawasan perumahan Mosson dan dia sudah ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:47 PM