ANGKA kematian meningkat apabila beberapa daripadanya meninggal dunia akibat cedera parah. FOTO AFP
AFP

ISLAMABAD: Angka kematian mangsa dalam nahas kereta api di tengah Pakistan meningkat kepada 23 orang apabila beberapa daripadanya meninggal dunia akibat cedera parah, kata pihak berkuasa.

AFP melaporkan, kejadian di daerah Rahim Yar Khan, wilayah Punjab itu semalam, berlaku apabila kereta api yang membawa penumpang dari timur bandar Lahore bertembung dengan sebuah lagi kereta api barangan yang berhenti di lintasan.

“Berdasarkan perkembangan terbaru yang diterima, angka kematian meningkat kepada 23 orang malam semalam apabila beberapa lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialami,” kata jurucakap Pakistan Railways yang menjelaskan seramai 73 lagi masih dirawat.

Seorang lagi jurucakap mengesahkan angka kematian itu berkata, anggota penyelamat sudah mengeluarkan semua mayat mangsa yang maut dan cedera dari lokasi kemalangan.

“Kami kini memberi tumpuan untuk membersihkan landasan itu dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 2:34 PM