SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun duduk di atas bumbung sebuah klinik selama dua jam gara-gara takut untuk berkhatan. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun duduk di atas bumbung sebuah klinik selama dua jam gara-gara takut untuk berkhatan selepas dibawa oleh ibu bapanya, dalam kejadian di Banten, Indonesia.

Daily Mail melaporkan, dia dilaporkan terus berlari keluar dari klinik sebaik dibawa ke situ.

Gambar kanak-kanak terbabit dikongsi oleh doktor klinik berkenaan yang memuat naik di Facebook selepas terkejut dengan tindakannya.

“Sepanjang kerjaya profesional selama 20 tahun dan mengkhatankan ribuan kanak-kanak, ini adalah kali pertama saya melihat seorang kanak-kanak memanjat dan duduk di atas bumbung,” kata Dr Anik Sutari.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit berjaya dipujuk turun oleh guru sekolahnya selepas dua jam berada di atas bumbung.

“Ibu bapa menghubungi guru sekolah sebelum memujuknya turun. Selepas itu, dia sendiri berjalan masuk ke dalam klinik untuk berkhatan tanpa dipaksa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:52 PM