MAYAT Munda yang mati diheret dan dipijak gajah.
Agensi

NEW DELHI: Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun terbunuh selepas seekor gajah mengheretnya dari katil ketika dia tidur ke luar dan memijaknya sampai mati.

Sini Munda dari Mundasahi di kawasan hutan Champua, timur India, sedang tidur di sebelah abang dan kakaknya, Ganesh serta Rani, apabila haiwan itu tiba-tiba merempuh sisi rumah mereka menyebabkan dinding runtuh.

Gajah itu kemudian menggunakan belalainya untuk menarik Sini keluar dan memijaknya. Ganesh dan Rani juga dalam keadaan kritikal kerana dihempap dinding rumah dan kini dirawat di Pusat Kesihatan Masyarakat Champua, lapor Ommcom News dipetik Mail Online.

April lalu, lima orang dipijak mati seekor gajah di Angul. Gajah itu pada mulanya menyerang tiga sekeluarga yang tidur di luar mereka sebelum turut membunuh dua yang lain, lapor The Hindu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:16 PM