GAMBAR Hiasan.
Agensi

JEDDAH: Gara-gara memanggil bekas suaminya ‘syaitan’ dan ‘bodoh’ seorang wanita Arab Saudi terpaksa merengkok di dalam penjara selepas dijatuhi hukuman penjara tiga hari oleh sebuah mahkamah di sini.

Akhbar tempatan Okaz melaporkan, mahkamah di Jeddah membuat keputusan itu selepas lelaki itu membuat aduan dan mahu membalas perbuatan bekas isteri yang diceraikannya lima tahun lalu.

Mangsa menuduh bekas isterinya menghantar mesej berisi cercaan dan makian melalui WhatsApp, menggunakan kata-kata kesat dan bersifat perkauman terhadapnya.

Pada mulanya, mahkamah mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk ke jawatankuasa pendamaian undang-undang dalam usaha menyatukan mereka semula tetapi tidak berjaya.

Mahkamah merujuk kepada keputusannya berkata wanita berkenaan memanggil bekas suaminya sebagai ‘syaitan’ dan ‘bodoh’ dalam mesejnya.

Wanita itu mengaku menghantar mesej berkenaan sebagai tindak balas ke atas penghinaan yang pernah dibuat bekas suaminya ke atas dia dan keluarganya.

Mahkamah juga memerintahkan wanita itu agar berjanji tidak mengulangi kesalahannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:51 PM