GEMPA bumi mengakibatkan 45 cedera. GAMBAR hiasan
AFP

TEHRAN: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud yang melanda barat daya Iran berhampiran sempadan Iraq hari ini menyebabkan satu kematian akibat serangan jantung dan puluhan lain cedera, kata pertubuhan bantuan dan penyelamat negara itu.

Gempa bumi itu, yang berpusat di kawasan Masjed Soleiman di wilayah Khuzestan, berlaku sekitar jam 11:30 pagi waktu tempatan pada kedalaman 17 kilometer, lapor pusat seismologi negara Iran.

Wilayah itu digegarkan dengan tujuh gempa susulan, yang paling kuat berukuran 4.7 magnitud, katanya.

Sekurang-kurangnya 45 cedera, kata ketua pertubuhan bantuan dan penyelamat Iran, Morteza Salimi.

“Seorang penduduk di Masjed Soleiman meninggal dunia akibat serangan jantung selepas gempa bumi,” kata Salimi.

Di bandar raya dan kampung berhampiran yang terjejas oleh gempa bumi itu, mengalami retakan kecil dalam bangunan dan jalan ke beberapa kampung terputus.

Pada November 2017, gempa bumi berkekuatan 7.3 magnitud di wilayah barat Kermanshah mengorbankan 620 orang.

Gempa bumi paling dahsyat berukuran 7.4 magnitud di utara Iran pada 1990 mengorbankan 40,000 orang, mencederakan 300,000 lain dan setengah juta penduduk hilang tempat tinggal.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 9:16 PM