ANTARA mangsa pesta larian lembu di Pamplona. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Dua warga Amerika Syarikat dan seorang dari Sepanyol dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika pesta larian lembu di Pamplona, utara Sepanyol, kata pihak berkuasa hari ini.

Larian lembu adalah salah satu acara yang mendapat kunjungan ramai ketika festival San Fermin yang berlangsung selama seminggu.

“Jumlah mangsa dirawat di wad kecemasan di hospital Navarra meningkat kepada lima orang, tiga darinya akibat ditanduk lembu," kata pemerintah wilayah Navarra menerusi Twitter.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa berkata mangsa yang tercedera termasuk dua warga Amerika Syarikat, berumur 23 dan 46 tahun dan warga Sepanyol yang cedera di paha kirinya.

Media tempatan melaporkan mangsa yang ditanduk lembu berada dalam keadaan serius.

Larian berkenaan disertai ratusan orang mengenakan kemeja putih serta selendang merah, dan berlari bersama sekumpulan lembu di laluan sempit sehingga sampai ke kawasan pertandingan lembu di pusat bandar, di mana haiwan berkenaan dibunuh oleh profesional matador dalam pertandingan lembu.

Mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibolehkan menyertai larian Pamplona walaupun pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko itu. Sejak 1911, seramai 16 orang terbunuh dalam acara itu, dan yang terakhir pada 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:27 PM