AFP

HONG KONG: Ratusan penunjuk perasaan prodemokrasi menceroboh Parlimen Hong Kong petang semalam sebelum merosakkan dan menconteng dinding bangunan itu.

Polis berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan bagi menghalau penunjuk perasaan yang menceroboh bangunan itu sempena ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China.

Sejak beberapa minggu lalu, Hong Kong berdepan tunjuk perasaan besar-besaran bagi membantah undang-undang baru yang membenarkan tertuduh di pulau itu diektradisi ke China.


PENUNJUK perasaan yang menceroboh bangunan itu sempena ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China. FOTO AFP

Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di jalan utama pada tengah hari semalam bagi mendesak pemimpin pro-Beijing meletak jawatan.

Bagaimanapun, pada lewat petang, ratusan penunjuk perasaan yang memakai topeng dan topi berjaya menceroboh bangunan parlimen selepas bertempur dengan polis antirusuhan.

Mereka kemudiannya mengoyakkan potret pemimpin pulau itu, mengibarkan bendera Hong Kong semasa di bawah jajahan Britain dan menconteng dinding dengan cat hitam.

Polis dilihat meninggalkan bangunan itu sebelum mengepungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 12:18 AM
PENUNJUK perasaan dan pihak media menceroboh Parlimen Hong Kong petang semalam. FOTO AFP