ZAIRA WASIM
Agensi

MUMBAI: Aktres Bollywood yang pernah membintangi filem ‘Dangal’, Zaira Wasim mengumumkan hasratnya untuk berundur dari bidang lakonan kerana ia menjejaskan iman serta hubungannya dengan Allah.

Dia membuat pengumuman itu menerusi hantaran laman Facebook yang kemudiannya dikongsi di beberapa platform media sosial, lapor NDTV.

Pelakon berusia 18 tahun itu berkata, selepas berkecimpung dalam bidang lakonan selama 5 tahun, dia akhirnya mengakui tidak gembira dengan identiti serta bidang kerjaya itu.

“Bidang ini membawa kasih sayang, sokongan dan pujian namun ia juga membawa saya kepada jalan kepada kejahilan apabila secara tidak sedar ia menyimpang dari iman.

“Ketika saya terus bekerja dalam suasana yang menjejaskan iman, hubungan saya dengan agama juga terancam,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 4:06 PM