PENUNJUK perasaan Palestin lari untuk berlindung daripada terkena gas pemedih mata Israel ketika protes. FOTO Reuters (Fail)
Agensi

BAILTULMAQDIS: Diaa Barakat, penduduk perkampungan kecil Palestin, Nabi Samuel di Tebing Barat tidak menikmati kebebasan dengan semua pergerakan disekat, malah tidak boleh membawa bekalan makanan lebih daripada sehari.

“Kami tidak boleh menerima tetamu dan mengambil masa berjam-jam setiap hari untuk melalui pusat pemeriksaan ketika meninggalkan kampung atau kembali,” kata buruh berusia 40 tahun itu.

Menurut Al Jazeera, seperti pekan dan perkampungan lain di Tebing Barat, Nabi Samuel, berdekatan Baitulmaqdis juga menjadi sangkar kepada penduduknya.

Ia sudah hampir dikelilingi tembok pemisah yang dibina tentera Israel sejak 2002 manakala perkampungan dipagar, memisahkan timur dan barat. Lebuh raya dari Baitulmaqdis ke Lapangan Terbang Ben-Gurion menjadi sempadan di sebelah utara.

Beberapa pusat pemeriksaan iaitu pintu masuk dan keluar di sekeliling pagar perkampungan kecil menjadikan penduduknya tinggal dalam sangkar, menyukarkan kehidupan seharian.

Ketika Semenanjung Gaza popular sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’ dengan dua juta penduduknya terkurung sejak 11 tahun lalu, antara laut dengan wilayah Israel, penduduk di Tebing Barat juga menghadapi keadaan yang hampir sama.

Menurut aktivis dan penduduk, majoriti penduduk di Tebing Barat ‘dipenjara’ dalam pekan atau perkampungan mereka akibat ratusan pusat pemeriksaan, tembok dan sekatan jalan raya.

Tembok pemisah itu diisytihar tidak sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2004 namun, Israel tidak pernah mempedulikannya.

Kini, Amerika Syarikat melalui menantu presidennya, Jarred Kushner mengemukakan cadangan dana AS$50 bilion (RM207.14 bilion) bagi membangun ekonomi penduduk Palestin namun tidak memberi harapan wilayah yang ditawan akan dikembalikan, malah tidak memberi jaminan penduduk Palestin akan bebas daripada penjajahan.

Meskipun tanpa pusat pemeriksaan itu, pergerakan penduduk Palestin tetap terhadap berikutan penggunaan kad pengenalan yang dikeluarkan Israel yang menentukan di mana seseorang itu tinggal dan ke mana mereka boleh pergi.

Selepas perang 1967, tentera Israel mewajibkan penduduk Palestin mendapat permit untuk memasuki wilayah ditakluki.

Sistem itu dikuatkuasa kembali pada 1981, dengan penduduk Tebing Barat dan Gaza diberi kad pengenalan hijau manakala penduduk di Baitulmaqdis Timur yang dijajah dan Israel, kad pengenalan biru.

DUA gambar menunjukkan tembok yang dibina Israel yang memisahkan Baitulmaqdis Timur dengan perkampungan Palestin di Tebing Barat. FOTO EPA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:01 AM