PENDUDUK Palestin memprotes persidangan ekonomi Asia Barat yang ditaja Amerika Syarikat. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner berkata, konflik Israel-Palestin tidak mungkin boleh diselesaikan berdasarkan Inisiatif Damai Arab yang menggariskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai pertukaran pengunduran rejim Zionis dari semua wilayah dijajahnya ketika perang 1967.

Kushner membuat kenyataan itu dalam temuramah dengan Al Jazeera sebelum beliau berlepas ke persidangan tajaan Amerika Syarikat di Manama, Baharain, bagi menyampaikan rancangan ekonomi dalam pelan damai terbaru.

Persidangan dihadiri ahli perniagaan Amerika, beberapa negara Arab dan Israel itu dipulau Palestin.

“Saya rasa kita perlu terima hakikat jika ada persetujuan, ia tidak akan menurut garis ditetapkan inisiatif damai Arab itu.

“Ia (pelan damai) itu di antara inisiatif berkenaan dan di antara kepentingan Israel,” katanya.

Kushner yang juga menantu Presiden Donald Trump diberi tugas oleh Trump untuk mengetuai proses damai di Asia Barat.

Mengenai pembentukan dua negara sebagai penyelesaian, terutama selepas Duta Amerika ke Israel, David Friedman, menyokong langkah Zionis merampas sebahagian Tebing Barat, Kushner berkata, Inisiatif Damai Arab ialah usaha yang baik namun ‘jika boleh diterima, ia sudah lama diterima.’

Inisiatif Damai Arab yang dicadangkan Arab Saudi pada 2002, menggariskan pembentukan negara Palestin merdeka dengan menuntut Israel berundur dari semua wilayah ditaklukinya pada perang 1967, termasuk Bukit Golan, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat sebagai pertukaran mengiktiraf Israel.

Inisiatif itu diluluskan Liga Arab namun tidak pernah dilaksanakan kerana Israel enggan menyerahkan wilayah terbabit, malah memperbesarkan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Merujuk persidangan dua hari Manama itu, Kushner berkata, beliau percaya ia akan berjaya walaupun diboikot Palestin berikutan kehadiran wakil negara Arab serta pelabur antarabangsa.

Kushner juga mempertahankan langkah Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 2017.

“Israel ialah negara berdaulat yang mempunyai hak menentukan di mana ibu negaranya dan Amerika berhak mengiktiraf keputusan sesebuah negara berdaulat,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan Kushner akan mengemukakan cadangan Amerika penubuhan dana pelaburan antarabangsa berjumlah AS$50 bilion (RM207 bilion) untuk Palestin dan negara Arab tertentu sebagai pemangkin pelan damai di Asia Barat.

Kira-kira AS$28 bilion (RM116 bilion) untuk membangun ekonomi Palestin dalam tempoh 10 tahun manakala Jordan akan menerima AS$7.5 bilion (RM31 bilion), Mesir AS$9 bilion (RM37 bilion) dan Lubnan AS$6bn (RM25 bilion).

Reuters melaporkan, Lubnan yang turut memboikot persidangan itu sudah menyatakan ia menolak tawaran RM25 bilion itu dengan Speaker Parlimennya, Nabih Berri, berkata: “Mereka tersilap jika menyangka dengan menayangkan berbilion dolar boleh ‘membeli’ Lubnan.

“Pelaburan boleh diterima Lubnan ialah yang membawa kepada hak penduduk Palestin kembali ke negara mereka.”

Selain jutaan rakyat Palestin, Lubnan juga mempunyai lebih sejuta pelarian dari Syria yang membimbangkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:40 AM