GAMBAR Hiasan.
Agensi

HONG KONG: Seorang pembantu wanita Indonesia dipenjara empat bulan hari ini kerana meletakkan air kencing dalam bekas minuman majikan.

Menurut South China Morning Post, Komsatun, 40, sebenarnya mensasarkan majikannya, Solange Feng Shoc-hoa kerana sering dimarahi wanita itu.

Bagaimanapun, anak lelaki Solange yang berusia 13 tahun menjadi mangsa apabila terminum air berkenaan.

Perbuatannya terbongkar selepas anak Solange mengadu air dalam bekas itu berasa pelik.

Pembantu itu ditahan polis selepas mengaku meletakkan air kencing dalam bekas berkenaan.

“Saya tidak tahu anak lelakinya akan minum air dalam bekas itu. Niat saya adalah untuk mengenakan majikan,” katanya ketika disiasat polis.

Komsatun menyangka Solange akan membawa bekas minuman itu, sebaliknya diletakkan ke dalam beg sekolah anaknya.

Majistret Peter Law Tak-chuen berkata, air kencing tidak beracun, namun insiden itu mengganggu remaja terbabit secara mental.

Kejadian itu berlaku pada 11 April lalu, seminggu selepas Komsatun mula bekerja di rumah Feng di Ap Lei Chau, kata pendakwa raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:44 PM