PANGSAPURI mewah Twin Brook yang dipecah masuk pencuri.
Agensi

HONG KONG: Seorang pencuri sanggup menggadai nyawa dengan memanjat paip setinggi 19 tingkat sebelum melarikan wang tunai serta barang berharga HK$60,000 (RM31,796) dari sebuah rumah di pangsapuri mewah Twin Brook, semalam.

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki terbabit memanjat paip pangsapuri berkenaan sekitar jam 10 malam dan menurun kira-kira sejam kemudian.

Jurucakap polis dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan mendapati pencuri itu menceroboh masuk dua rumah di tingkat 11 dan 19 menerusi tingkap.

Kecurian itu hanya disedari pembantu rumah di tingkat 11 pada jam 7 pagi apabila dia mendapati ruang tamu digeledah dan salah satu tingkap terbuka.

"Barang kemas bernilai HK$40,000 dan tunai sebanyak HK$20,000 dicuri dari rumah itu," katanya.

Bagaimanapun, tiada barang berharga dilaporkan hilang dari rumah di tingkat 19.

Data polis menunjukkan jumlah pecah rumah di Hong Kong meningkat kepada 527 kes dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:00 PM