RAKAMAN CCTV menunjukkan wanita terbabit ditendang hingga jatuh. FOTO: Agensi
Agensi

HANOI: Tiga lelaki dipenjara antara 22 hingga 36 bulan kerana menyerang seorang pekerja wanita di sebuah lapangan terbang apabila enggan mengambil gambar untuk kali kedua bersama mereka.

Wanita terbabit, Le Thi Giang yang juga kakitangan syarikat penerbangan tambang rendah, Vietjet Air sudah mengambil gambar dengan tiga lelaki itu, tetapi apabila mereka mahukan gambar kedua dia menolak atas alasan sedang bertugas, lapor news.com.au.

Rakaman kamera litar keselamatan tertutup menunjukkan tiga tertuduh, Le Van Nhi, 41, Le Trung Dung, 34, serta Pham Huu An, 28, menampar dan menendangnya menyebabkannya jatuh ke lantai.

Seorang pengurus lapangan terbang dan dua anggota keselamatan yang melihat kejadian itu cuba menghalang mereka tetapi turut ditampar seorang daripada mereka. Rakan mangsa yang merakam kejadian menggunakan telefon bimbitnya turut diancam lelaki berkenaan.

Tiga lelaki itu yang dipercayai mabuk akhirnya ditahan pengawal keselamatan sebelum dibawa ke balai polis.

Portal VN Express melaporkan, Van Nhi dipenjara 36 bulan manakala Trung Dung dan Pham Huu masing-masing dipenjara 34 bulan dan 22 bulan. Mereka juga dilarang menaiki penerbangan selama setahun.

Sementara itu, empat pengawal keselamatan di lapangan terbang itu turut didenda AS$247 (RM) kerana gagal melindungi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:40 PM