Agensi

DHAKA: Seorang lelaki yang dikenali sebagai `Lelaki Pokok’ kerana ketumbuhan seperti ketuat yang tumbuh di tubuhnya merayu tangannya dipotong kerana tidak mampu lagi menanggung kesakitan.

Abul Bajandar, 28, menjalani 25 pembedahan sejak 2016 untuk membuang ketumbuhan berkenaan yang berpunca daripada satu keadaan genetik ganjil.

Bagaimanapun, ketuat itu tumbuh semula dan ia semakin merebak serta lebih besar.

“Saya tidak mampu lagi menahan sakit. Pada waktu malam saya tidak boleh tidur. Saya meminta doktor untuk memotong tangan saya supaya kesakitan ini boleh hilang,” katanya.

Doktor percaya mereka berjaya menyembuhkan penyakit itu tetapi Bajandar melarikan diri dari klinik di Dhaka Mei tahun lalu apabila ia berulang.


ABUL Bajandar menunjukkan ketuat yang tumbuh di tangannya. FOTO Agensi.

Bapa kepada seorang anak itu dimasukkan semula ke hospital pada Januari lalu kerana keadaan yang semakin teruk, dengan beberapa ketumbuhan mencecah beberapa sentimeter panjang.

Ibunya, Amina Bibi turut menyokong rayuan anaknya itu.

“Sekurang-kurangnya dia tak berasa sakit lagi. Ini sudah keterlaluan,” katanya.

Bajander menderita penyakit epidermodysplasia verruciformis, satu keadaan genetik jarang berlaku yang juga dikenali sebagai ‘sindrom manusia pokok’.

Bajandar berkata, dia mahu ke luar negara untuk rawatan lebih baik, tetapi tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:19 AM
Skip this ad x