LELAKI meneguk air berikutan panas melampau di Perancis.
AFP

PARIS: Kerajaan Perancis hari ini terpaksa menangguhkan peperiksaan awam yang dijadualkan minggu ini demi keselamatan pelajar dari gelombang haba.

Menteri Pelajaran, Jean-Michel Blanquer berkata, peperiksaan awam diploma Brevet bagi pelajar berusia 14 tahun yang sepatutnya berlangsung pada Khamis dan Jumaat ini akan ditangguhkan sehingga minggu depan.

Blanquer berkata, peperiksaan akan berlangsung pada 1 dan 2 Julai, apabila suhu dijangka menurun.

Perancis dan beberapa negara Eropah bakal berdepan gelombang haba luar biasa pada musim panas ini dan suhu diramalkan melebihi 40 darjah Celcius minggu ini.

Peramal cuaca berkata, suhu pada hujung minggu ini dijangka paling tinggi untuk Jun sejak 1947.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 12:05 AM